icon-search
icon-search

History of SpiderMalaysia

History of SpiderMalaysia

Dari usahawan, kini Aesos jadi pereka fesyen jenama Spider

Apabila seseorang itu mempunyai impian, anda perlu meraihnya dan jangan sesekali melepaskannya kerana tiada yang mustahil bagi mereka yang mencuba.
Pedulikan persepsi orang sekeliling yang memandang rendah kepada anda, biarpun impian tersebut hadir tatkala anda bergelar warga emas.
Pepatah ada mengatakan usia tua bukanlah penyakit, ia adalah kekuatan dan kemandirian, kemenangan atas semua jenis perubahan dan kekecewaan, ujian serta penyakit.

Justeru itulah Pengasas dan Presiden I Am KL Sdn. Bhd., Aesos Lai, 59, yang sebelum ini bertanggungjawab memperkenalkan pakaian sukan jenama Spider mengambil inisiatif untuk mengetengahkan produk tersebut menerusi peragaan fesyen (Fashion Show) pula.
Bagi Aesos, sudah lama beliau memikirkan kenapa tidak ada produk tempatan yang terkenal dan permintaan tinggi di pasaran untuk pakaian sukan berbanding jenama luar negara.
“Dua tahun lalu, saya bercakap seorang diri sambil melihat cermin dan bertanya, kenapa tidak ada jenama Malaysia yang terkenal, pasaran besar-besaran, dalam segmen gaya hidup sporty atau segmen pakaian kasual yang mampu milik?
“Dari bermonolog itulah tercetus idea untuk saya buat sesuatu, sekurang-kurangnya ada jenama tempatan yang terkenal. Rasanya tak salah untuk mencuba, selagi tak buat, kita tak tahu akan hasilnya.
“Saya tak adalah menaruh harapan untuk menjual jenama saya (Spider) itu hingga berpuluh ribu. Saya yakin jika kena dengan gayanya, saya mampu jual sekurang-kurangnya seribu untuk membanggakan Malaysia.
“Sebagai seorang yang suka mencabar diri, saya yakin boleh melakukannya. 

Sebelum ini saya telah melakukannya untuk perniagaan durian menerusi Sunshine Kingdom. Disebabkan itu orang kenali saya sebagai Durian King,” katanya penuh yakin.  
Malah kerana Raja Buah itulah Aesos yang merupakan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunshine Kingdom berjaya meraih beberapa anugerh berprestij, antaranya Superbrands Award (2019), Malaysia Book of Records – Most Number of Durian Related Products (2018), SOBA (Star Outstanding Business Award 2018 & 2019 - Best In Marketing) dan Malaysia-China Silk Road Award – International Entrepreneur (2016). Dalam jangkamasa lima tahun bermula dari tahun 2016, beliau telah berjaya meraih 30 anugerah dalam bidang Branding / Jenama, Marketing / Pemasaran serta Entrepreneurship.
Usahawan itu, tidak menganggap usia sebagai penghalang untuk dia menceburi bidang baharu. Baginya, apa yang penting adalah percaya dan yakin pada diri sendiri.
“Mesti sentiasa percaya kepada kebolehan diri sendiri kerana tiada siapa yang akan melakukan untuk kita. Apa yang perlu dilakukan adalah bekerja keras dan berdoa agar tuah sentiasa mengiringi perjuangan kita.
“Nasib atau tuah memainkan peranan penting dalam setiap usaha yang kita lakukan. Jika berusaha tentulah ada hasilnya. Ayuh! Berusaha untuk masa depan, hanya kita sendiri yang mampu menggubah nasib diri,” katanya penuh semangat.

Atas dasar yakin diri, akhirnya pada 22 Januari lalu, Aesos menyertai pertunjukan fesyen “Celebrity Fashion Week” sebagai pereka fesyen jenama Spider di Pavillion Bukit Jalil.
“Tidak pernah terlambat untuk menjadi seseorang yang anda inginkan jika anda percaya pada diri sendiri dan yakin bahawa impian boleh menjadi kenyataan.
“Umur hanyalah angka dan fikiran yang menentukan usia apa yang anda mahu. Kita tidak tua dan kita tidak muda dan kebetulan kita berada pada usia yang sesuai. Bila kita berfikiran positif, semua perkara boleh menjadi kenyataan,” katanya.
Penampilan sebagai pereka fesyen merupakan satu fasa baharu dalam kehidupn Aesos. Baginya tiada apa yang mustahil dalam dunia ini kerana semua itu bergantung kepada diri sendiri.
“Harapan mendorong kita untuk bekerja keras pada hari ini agar kita dapat menjalani hari esok yang lebih sempurna. Tambahan pula, 2022 merupakan tahun Harimau yang melambangkan kekuatan, kepimpinan, kepekaan dan perlindungan.
“Untuk itu saya harap tahun ini mampu untuk meneruskan usaha yang telah terbengkalai dek pandemik Covid-19. Saya yakin dengan semangat yang tak pudar, saya mampu untuk membentuk diri menjadi insan berjaya,” katanya penuh harapan.

Terdapat pelbagai rekaan yang memaparkan gambar Harimau (sempena tahun ini) dan labah-labah. Harga yang ditawarkan mampu milik dan yang penting material yang digunakan untuk kemeja-T jenama Spider amat berkualiti.
Terkini jenama Spider akan melancarkan koleksi kemeja-T untuk kaki gym iaitu Always Inspired Series Gym Fit T-Shirt. Menariknya setiap kemeja disertakan dengan petikan atau ungkapan positif sebagai galakan untuk si pemakai. Orang lain yang melihat pemakai pun akan dapat mesej yang positif.


Aesos yang pernah mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori The Most Number of Motivation Quotes Published by Entrepreneur, tidak menghadapi masalah untuk mencatat ungkapan motivasi kerana dia secara peribadi adalah seorang yang berfikiran positif.
“Setiap T-shirt ada quote atau ungkapan yang bersifat positif. Apabila kita memakai kemeja tersebut, secara tak langsung kita berkongsi pemikiran positif dengan orang lain yang membaca ungkapan itu.
“Saya seorang yang bersikap positif dan saya mahu kongsi aura tersebut dengan orang sekeliling. Biarpun menerusi sehelai kemeja-T, mungkin kata-kata semangat itu sedikit sebanyak dapat memberi motivasi kepada mereka yang sedang bermasalah,” katanya yang sering berkongsi kata-kata motivasi di Facebook @ SpiderMalaysia.
Antara ungkapan yang tertera di kemeja-T tersebut ialah ‘Always Trust Yourself’, ‘Heroes Don’t Quit’, ‘Super Hope’, ‘Upgrade Your Look’ dan ‘Be Positive’.
Anda juga boleh melihat koleksi terkini kemeja-T Spider di laman web : www.spidermalaysia.com

Dalam pada itu, Aesos yang menggunakan tagline ‘Possible Is Everything’ untuk produk Spider sempat berkongsi cerita tentang penggunaan nama Spider untuk kemeja-T keluaran syarikatnya.
Menurut Aesos, Spider menjadi jenama untuk memperkenalkan pakaian rekaannya kerana baginya, labah-labah merupakan spesis serangga yang berani dan sanggup melakukan apa saja demi kelangsungan hidup.
Katanya, dalam kehidupan sebenar untuk menjadi orang yang berjaya, setiap individu perlu ada keberanian melakukan perkara yang di luar kotak kerana segalanya berkemungkinan (tidak mustahil) menjadi kenyataan.
“Walaupun saya bukan pakar tentang fesyen tapi hasrat untuk menerokai bidang tersebut ada, sebab itulah saya keluarkan pakaian jenama Spider.
“Untuk berjaya dan menggubah nasib diri, kita perlu mencuba sesuatu yang baharu dan keluar daripada zon selesa. Prinsip saya mudah, selagi tak mencuba kita tak akan tahu kebolehan diri sendiri.
“Tiada perkara yang mustahil kerana apa saja boleh terjadi, jika kita berazam dan bertekad untuk menjadikan impian itu satu kenyataan. Hanya kita saja yang mampu menggubah nasib diri sendiri dan bukan orang lain. Disebabkan semangat itulah saya keluarkan jenama Spider untuk pasaran,” katanya tentang maksud di sebalik tagline tersebut.

Selain itu kata Aesos, sewaktu zaman kanak-kanak, Superhero kegemarannya ialah Spiderman dan dari inspirasi itulah dia pilih Spider menjadi jenama produk.
"Waktu kecil saya suka pakai topeng dan baju Spiderman kerana itu adalah adiwira kegemaran saya. Sampai sekarang saya masih lagi suka Spiderman berbanding Superhero lain, tapi taklah sampai nak pakai topeng dan baju Spiderman pada usia sekarang kan?
"Dek minat yang mendalam terhadap Spiderman itu yang memberi idea kepada saya mereka kemeja-T yang ada elemen "Superhero In An Ordinary Person". Untuk membolehkan saya terus menjadi Superhero itu, saya reka satu jenama baharu.
"Apa yang paling penting kemeja-T jenama Spider ini berkualiti, selesa dipakai kerana rekaannya yang menarik dan harganya berpatutan," cerita Aesos yang merupakan peminat tegar Spiderman itu.










Your cart is currently empty.
Continue shopping